UJIAN ITU TEST …

February 8, 2010

Mahu atau tidak mahu, hari Isnin PASTI datang. Itu adalah fitrah. Pergiliran hari, pergantian waktu.

Hari ini ‘diuji’ dengan sedikit kebuntuan. Pagi lagi, Boss sudah SMS.

“Salam, tolong semak akaun dan baki terakhir projek … (sehingga akhir). Terima Kasih.” Telan air liur sebentar dan ‘pause’. Berfikir langkah seterusnya. Telefon pegawai kewangan. Segera ingin menyoal dengan sulaman ayat-ayat pertanyaan berselirat dalam kepala. Mahu jadi sesopan dan berbudi pekerti sebaik mungkin.

“He … llo…, selamat pagi. Boleh bercakap dengan … “.
Tertipu dengan imaginasi sendiri. Kecewa. Realitinya, telefon tidak diangkat pun.

Balik semula ke kerusi, apa perlu buat seterusnya. Oh, ya… Telefon lagi sebuah agensi kerajaan. Penting, untuk mendapatkan kepastian nombor telefon.

“Hello, Selamat Pagi … Boleh bercakap dengan …. “.

Di hujung talian, ada suara. Merdu. “Sila tekan ‘0′ untuk bercakap dengan operator kami”. Al-kisah, mesin rupanya. Urut dada sebentar. Akhirnya dapat juga bercakap dengan operator. Menunggu dan sabar itu akan ada ‘bayarannya’. Alhamdulillah.

Isnin oh Isnin. Mulanya rasa seakan-akan fed-up sahaja. Semuanya serba tidak menjadi hari ini. Ujian, ujian.

Namun setelah direnung drama pagi hari buat pekerja seperti aku. Baru sedikit sahaja bebanan kerja itu. Aku bermonolog, “Lu Pikirlah Sendiri” (Nabil, 2008)

Selain itu, syukur Alhamdulillah… Walau dalam kekalutan, diberikan rezeki tak terjangka olehNYA, dengan sepinggan roti jala dan sebungkus nasi lemak + kuih talam, dibelanja oleh Puan Foziah.

*Kenyang dan gembira (^-^)v*


APA-APA AJE LAH …

February 3, 2010

Setiap hari merupakan hari yang seharusnya menjumpai ‘penemuan’ baru. Penemuan saintifik? Naah… itu bukan ruang lingkup penyelidikan aku. Penemuan kehidupan, penemuan garis panduan dan piawaian perancangan… Haaa… itu baru betul. Bidang aku!

Nescafe Mocca? Ehmm… Bila serangan mengantuk bertalu – talu masa nak mula membuka manual atau buku untuk dibaca, mulalah menggagau mencari alternatif penawar kepada mata yang berdikit – dikit mula berat. Tapi bukan selalu sangat, cukuplah sekadar seminggu sekali (buat masa ini), melayan ‘keinginan’ untuk minum nescafe atau nes-lo. Lepaslah gian.

Ini ‘mouse’ lama… Tinggal kenangan. Namun ‘dikau’ banyak berjasa dalam membantu aku menghadapi semester ‘Comprehensive Project’. Aku simpan-lacikan ‘dikau’ kini.

Taaddaa! Dah bertukar ke ‘mouse’ baru. Up-to-date sikit. Semoga dapat bertahan lama. Dikaulah aksesori baharu aku. Mohon membantu aku ya.

Ini dinamakan penulisan ‘konyol’. Apabila idea untuk menulis itu tiada, inilah jadinya.

*Don’t Try This At Home*


TAK APALAH ABAH …

January 25, 2010

Setelah sekian lama abah menunggu, kalau tak silap aku hampir 11 tahun, untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia dan PERLU menghadapi dua kali temuduga, satu di Johor Bahru yang mengkehendaki abah menjawab soalan objektif dan menulis sebuah karangan pendek (aku yang jadi penulis, pengarang dan editor cilik abah malam sebelum abah ‘exam’), manakala temuduga kedua abah di Putrajaya, tepatnya Kementerian Dalam Negeri (yang mana abah angkut kami sekeluarga ke Putrajaya dan Alhamdulillah dapat merasa 2 jam duduk di Hotel Puduraya).

Setelah sekian banyak dugaan abah perlu lalui untuk mendapatkan ‘KAD PENGENALAN BIRU’. Macam kena interogasi. Tapi bukanlah… Bersungguh-sungguh abah ‘hafaz’ Rukun Negara, Perdana Menteri Malaysia dan berlatih menjawab soalan-soalan ‘forecast’ untuk temuduga di Putrajaya. Nampaknya, abah belum direzekikan untuk menjadi warga Malaysia. Asbabnya? Aku pun tak tahu mengapa permohonan abah tidak terima, begitu juga permohonan pakcik aku (abang abah), dan kenalan-kenalan abah ramai yang tidak ‘PASs’.

PASti ada HIKMAH abah tak memperolehi taraf warganegara Malaysia:

1) Abah tak perlu jadi penjamin. Susah abah… Silap-silap haribulan abah jadi penjamin kepada orang yang tak sepatutnya. Bukan mendoakan abah jadi kedekut, tak mahu membantu orang, tetapi berhati-hati.

2) Abah tak perlu mengundi. Kalau ditakdirkan abah jadi pengundi pun, nanti PASti abah takkan membuang undi. Rugi.

3) Anak abah pun seorang sahaja. Itupun sudah tidak bersekolah, abah tak perlulah risau kalau anak abah ni tak dapat pinjaman buku teks. Dulu-dulu pun beli buku teks yang PENTING, selebihnya ’sharing is caring’ dengan kawan-kawan.

Inilah hasil hipotesis anakmu abah. Abah janganlah risau sangat andai tak diberikan taraf warganegara, abah tidak berseorangan. Pakcik Rahman pun tak dapat.

Tak apalah abah… Lain kali kalau ada peluang, kita cuba lagi ya. InsyaALLAH…


GERAKAN FREEMASON – BERPERANCANGAN & TERANCANG

January 24, 2010

Sudah lama mendengar tentang Freemason, Zionis, New World Order dan sebagainya yang mempunyai agenda tersendiri untuk mempengaruhi manusia kebanyakan. Namun belum punyai masa mendalami atau ‘berkenalan’. Lebih-lebih lagi apabila AJL baru-baru ini juga hangat dengan ‘kontroversi Illuminati’, pasti banyak yang terkejut dan akan mula mencari-cari apa itu Illuminati.

Terkini, minat itu datang kembali untuk mendalami lagi tentang Gerakan Freemansory dan Illuminati. Alhamdulillah, banyak menemui laman sesawang yang banyak membincangkan berkenaan gerakan itu. Bukan sekadar melihat dan membaca penulisan blog tempatan malahan diberi kesempatan membaca blog luar negara. Ehmm… Orang Amerika sendiri sedang menyedari bahayanya gerakan ini. Kita, Muslim? Perancangan mereka telah didedahkan, mungkin ada yang boleh dipelajari dan diawasi.

Berikut ini merupakan laman sesawang yang sempat dilawati (Kredit dari ‘Facebook – Group Anti Freemason dan Illuminati):

http://vigilantcitizen.com/

Yang menarik dari laman di atas, ulasan berkenaan ‘Project Monarch’. Agenda pembasuhan-minda (Brainwash). Aku sendiri masih cuba memahami. Semoga anda juga akan mempunyai kesedaran… InsyaALLAH.


AKU, PENULIS …

January 22, 2010

Untuk memastikan fikiran aku sentiasa berfikir, aku telah letakkan matlamat untuk terus MENULIS. Berat, kerana untuk menyediakan bahan-bahan menulis itu perlu penjanaan minda dan buah fikiran. Kalau sekadar menulis ikut rasa hati, mungkin lebih mudah.

Tuntutan kerja sekarang ini pun memang memerlukan untuk aku menulis; PENULISAN LAPORAN yang kemudian telah dicita-citakan oleh ‘Big Boss’ untuk dijadikan sebagai buku. Fuhh … Aku pun tak tahu, sama ada aku mampu membantu Dr. Nazri menggapai hasrat hatinya itu. Tapi INSYAALLAH, akan diusahakan.

Pastinya penulisan ilmiah dan penulisan blog amatlah berbeza. Penulisan ilmiah itu harus cakna, teliti, mempunyai landasan fakta dan bukti, serta harus terkini. Penulisan ilmiah perlukan:

- FOKUS,
- MASA,
- DISIPLIN. (kurangkan anasir-anasir pengganggu)
- KEDALAMAN PEMBACAAN
- TANGKAS, jangan bermalas-malasan.

Namun, bukan meremehkan penulisan blog. Betapa blog itu ada auranya tersendiri. Aku mula berjinak-jinak dengan penulisan blog juga lebih dahulu dari penulisan ilmiah. Kenal WordPress, kemudian ke Blogspot tetapi kembali ’setia’ kepada WordPress.

Blog yang bermanfaat harus juga punyai ILMU, cakna, berisi, walaupun format tulisannya akan agak santai. Itu cita-cita aku. Punyai blog yang berinformatif, tetapi buat masa ini belum sampai lagi kepada itu. Masih menulis yang ringan lagi. Kalau diumpamakan kepada makan malam ala barat, masih ‘appetizer’. Cemilan-cemilan kecil.

Untuk ke hidangan utama, ehmm… Nantilah… perlu masa dan ilmu.


BERIKAN SAYA 3 MINIT …

January 21, 2010

Rutin sehari-hari, sebelum ke makmal pasti singgah mencari kudapan kecil mengisi perut. Pagi ini sempat menonton rancangan Malaysia Hari Ini dan ketika itu sedang ditayangkan bingkisan berkenaan ‘Speaker’s Corner’ di UPM. Menarik! Pembukaan pidato, dimulakan oleh seorang mahasiswa yang menyandang gelaran ‘Juara Pidato Diraja’. Menarik lagi! ‘Mahasiswa marhaein’?

Rindu pula zaman berkempen Pilihanraya Kampus suatu ketika dahulu. Berucap di hadapan sahabat-sahabat siswa siswi di Arked Meranti. ‘Speaker’s Corner’ tak rasmi. Galau di hati tiada siapa yang tahu, namun demi tanggungjawab berkempen. Aku gagahkan diri. Apa yang mahu diucapkan? Ya ALLAH, bantulah aku.

“Assalamualaikum & Salam Sejahtera kepada para mahasiswa, mahasiswi UTM… Berikan kepada saya waktu 3 minit sahaja. 3 minit masa saya dan 3 minit masa saudara saudari untuk saya memperkenalkan diri saya…

Saya SITI AMINAH BINTI UMAR,
SITI AMINAH BINTI UMAR,
SITI AMINAH BINTI UMAR …

(Hurmmm… sepertinya menjengkelkan tetapi untuk mengingatkan ‘penonton’ku).

Calon … … …

Calon anda, calon semua…

Lega. Berakhir juga ucapan aku. Tersekat-sekat, namun boleh dibaiki. Tentu ‘penonton’ku juga merasakan kelegaan kerana mereka boleh makan dan minum dalam keadaan yang tenang. Kasihan mereka yang berada hampir dengan corong pembesar suara. Peristiwa 4 tahun yang lalu dan sudah kabur dari minda apa yang telah diucapkan. Pengalaman yang teramat berharga dalam kehidupan sepanjang bergelar Mahasiswa UTM.

Adat bertanding, menang dan kalah itu adalah lumrah. Namun untuk berada dalam ‘Top 10′ pemenang. Subhanallah… Tak terjangkau oleh fikiran dan bersama kemenangan datang beriringan TANGGUNGJAWAB dan AMANAH yang WAJIB dilaksanakan.

And that shall be another story …

SOALAN : Di mana ‘Speaker’s Corner’ untuk mahasiswa mahasiswi UTM? Maaf tak tahu … Kerana saya ‘bukan mahasiswi’ lagi.


PERISTIWA PAGI …

January 20, 2010

Alhamdulillah sampai awal pagi tadi, terus ke Meranti dan mengisi perut sebelum kembali bertarung di medan ‘research’. Ayuh!

Sempat melihat gelagat seorang ayah dan anak perempuannya. Si anak, cantik beruniform mahu ke sekolah tadika. Sementara si ayah kelihatan seperti seorang pegawai di UTM. Anak kecil molek ini dilayan sebaik mungkin oleh si ayah, dibelikan sarapan kuih-muih dan air kotak Marigold Laici, serta disuapkan oleh si ayah tersayang. Walau lebih banyak menolak untuk menjamah sarapan, si ayah sabar berhadapan karenah si cilik ini.

Terdetik juga persoalan di hati, ke mana sang bonda, ehmm… Mungkin telah berangkat awal ke tempat kerja, melaksanakan tanggungjawab. Jadi, tugas sang bonda bertukar tangan kepada ayahanda. Sayang sunngguh kepada anaknya. Semoga anak itu, apabila dewasa kelak akan menjaga ibu dan ayahnya sebagaimana dia telah dipelihara / dibesarkan oleh orang tuanya.

Ingatan untuk diri sendiri juga…
Semoga jadi penawar dan kebahagiaan hati kedua bonda dan ayahandaku. Ameen … Ya Rabb


BUKU + BUKU + BUKU = ‘JENDELA KEHIDUPAN’

January 18, 2010

Penulisan memerlukan waktu, fokus dan disiplin. Alhamdulillah, telah ALLAH ‘kurniakan’ banyak sekali para penulis yang punya kesempatan untuk menulis dan menghidangkan kepada masyarakat dengan bervariasi buku. Dari fiksyen kepada bukan fiksyen, penulisan santai atau ‘berat’, tinggal kita mahu memilih dan membuat pilihan yang tepat serta pastinya daripada penulisan itu menatijahkan pengaruh yang baik kepada si pembaca.

BERMINAT

Sedang aku sendiri ada sedikit minat untuk menulis, tetapi untuk kali ini cukuplah sekadar aku jadi penulis blog. Mahu menulis buku, masih jauh lagi mahu ke arah itu. Namun masih bercita-cita andai diizinkanNYA. Cukuplah sekadar buat sementara ini, berpuas hati menjadi pembaca tegar buku-buku di pasaran. Bilamana MALAS itu hadir, membantutkan sahaja usaha murni untuk menulis.

Yang nyata, aku bersyukur diberikan kesempatan menjadi pecandu buku. Dari tulisan Faisal Tehrani sehingga kepada Karen Armstrong. Dari penggemar buku Teologi sehingga kepada ‘ketaksuban’ Manga.

Buku-buku ini ada yang telah berada dalam simpanan sejak beberapa waktu yang lalu dan ada juga baru dibeli. Belum sudah satu buku, telah menyusul dua buku baru dalam ’senarai menunggu’. Kesudahannya, jadi tidak tahu mahu memilih buku yang mana satu untuk dibaca.

‘Alat Bantuan Membaca’… Bukan rabun dekat, namun merasa lebih selesa membaca dengan memakai cermin mata. Tabiat…

Dalam kesempitan waktu aku tetap memohon semoga diberi kesempatan membaca dan mengulang-baca buku-buku dalam simpanan. Biarlah berhabuk dahulu ya, namun aku puas dapat menatap ‘kalian’ … Wahai buku-buku ku!


SOLAT SUNAT GERHANA …

January 15, 2010

“Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata; “Ketika terjadi gerhana di masa Nabi Muhammad s.a.w maka diserukan: “Ash-shalaatu jaami’ah (tegakkanlah solat berjamaah)”. Kemudian (di dalam solat) Nabi Muhammad s.a.w. ruku dua kali dalam satu rakaat. Pada rakaat kedua Nabi Muhammad s.a.w ruku dua kali pula. Kemudian duduk dan selesai.Matahari sudah terang kembali. Siti Aisyah berkata: “Belum pernah saya sujud lama, seperti lamanya sujud solat gerhana itu”. (Hr Bukhari dan Muslim).

Telah dikhabarkan kepada diriku tentang akan berlakunya kejadian gerhana matahari hari ini, Jumaat bersamaan 29 Muharam 1431 Hijrah.

Kepada mereka yang berkelapangan dan diizinkan, marilah sama-sama menunaikan solat sunat gerhana…


CHAOTIC MESS …

January 12, 2010

Meja berselerak, kertas di mana-mana, internet sebentar tadi OK selepas itu, mula merubah diri menjadi ’sengal’. Ada External Hard Disc di sana mahu digodam kerana mula menunjukkan ‘belang corrupt’. Itulah kehidupan seorang ‘researcher’ merangkap ‘pekerja-pekerja ad hoc’, dan lain-lain.

Tapi

Kumohon dalam kekalutan itu ada tenang di hati, dalam keributan dan keterbatasan ada kemudahan, dan dari segalanya ini ada kekuatan menjalani kesibukan seharian. Bila ‘ujian’ melanda, mari berkelana ke dunia maya sementara.

Ayo!!!!